
KUALA LUMPUR: Sebanyak sembilan unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Pantai Dalam mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda kawasan itu petang semalam.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, lima daripada rumah tersebut yang terletak di Tingkat 17 mengalami kerosakan serius, manakala empat lagi hanya mengalami kerosakan ringan.
“Empat daripada lima keluarga terkesan telah berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Komuniti Lembah Pantai, manakala kesemua lima keluarga menerima bantuan awal berupa sumbangan tunai RM1,000 dan ditawarkan penempatan di Rumah Transit DBKL,” katanya ketika meninjau lokasi kejadian hari ini.
Bagi empat keluarga lain yang rumahnya hanya mengalami kerosakan kecil, DBKL akan membantu membaiki kediaman masing-masing dalam masa terdekat.
Dalam kejadian tersebut, sebanyak 25 kenderaan milik penduduk turut rosak selepas dihempap serpihan bumbung dan struktur bangunan yang diterbangkan angin kencang.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin, yang memberi jaminan bahawa kerja-kerja pembaikan akan disegerakan.
“Kita menjangka rumah yang mengalami kerosakan paling teruk mungkin mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk dibaiki, bergantung kepada tahap kerosakan,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Fahmi Fadzil, semalam memaklumkan bantuan awal sebanyak RM5,000 telah disalurkan kepada setiap keluarga yang terjejas, selain bantuan keperluan asas seperti toto, bantal, selimut dan kelengkapan sekolah yang rosak akan diganti segera.







