
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan perkenan waktu bekerja bagi penjawat awam di Pahang pada Ramadan setiap Jumaat berakhir pada jam 12.30 tengah hari.
Baginda bertitah, Kerajaan Pahang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil. 6/2025 pada 5 Februari lalu bersetuju dan meluluskan cadangan itu.
“Keputusan dan kemudahan yang diberikan ini adalah untuk memberi peluang kepada penjawat awam memanfaatkan lebih masa bersama keluarga sepanjang Ramadan, di samping memuliakan Jumaat penghulu segala hari,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.
Al-Sultan bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Pahang Kali Ke-68 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, malam tadi.
Pada majlis itu, baginda menitahkan masyarakat Islam mengambil peluang mendekatkan diri kepada al-Quran serta memperbanyakkan tilawah, tadabbur dan mengamalkan ajarannya di dalam kehidupan.
Titah baginda, Ramadan yang bakal tiba turut menjadi waktu dan medan terbaik untuk kembali kepada fitrah dan mengurangkan tumpuan kepada isi hal dunia.
“Saya juga tidak terlepas dalam menghidupkan pembacaan al-Quran dan mentadabbur ayat suci al-Quran bersama-sama pegawai dan staf di Istana Abdulaziz.
“Sesungguhnya, al-Quran itu bukan sekadar dibaca tetapi difahami dan dihayati maknanya. Ilmu al-Quran ini wajib dipelajari secara bertalaqi, sebagaimana Rasulullah SAW sendiri diajarkan oleh malaikat Jibril,” titah baginda.