
BEHRANG : Semua pihak disaran merujuk Perlembagaan Persekutuan berhubung cadangan mewujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Dr. Zulkifli Hasan, kerangka (Perlembagaan Persekutuan) sedia ada kekal dan tidak perlu diubah atau ada cadangan daripada mana-mana pihak terutama yang boleh memecah-belahkan perpaduan kaum.
“Kita semua disaran rujuk semula kepada Perlembagaan Persekutuan. Kita hendak menyambut Ramadan dan mahu tenang-tenang dan damai-damai. Kita tidak mahu ada apa-apa perkara yang jejas keharmonian kaum. Jadi semua pihak perlu rujuk kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Sentuhan Kasih Madani, Jom Ke Sekolah 2025 di Dewan Muallim Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dekat Behrang.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.
Zulkifli berkata, beliau yakin dengan kerangka sedia ada dan kebijaksanaan pimpinan utama negara akan dapat menyelesaikan masalah berkenaan.