
KALABAKAN: Sebanyak RM2.329 bilion diperuntukkan bagi mengurus keseluruhan pembangunan 52 projek baharu sekolah di Sabah tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata peruntukan tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menangani isu sekolah daif di negeri ini.
“Berbilion ringgit dibelanjakan bagi memastikan pembangunan sekolah daif dilaksanakan berterusan,” katanya sempena lawatan kerja dua hari Program Tindak Susul Parlimen.
Fadhlina berkata, terdapat 390 projek pembangunan sekolah daif di Sabah dengan 230 projek disiapkan.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan untuk menyelesaikan isu berkaitan bangunan sekolah yang tidak memiliki sijil layak menduduki termasuk isu tanah sekolah di Parlimen Kalabakan yang menjadi punca sekolah terbabit sukar menerima bantuan.
“Kita (KPM) ambil perhatian isu-isu ini, kita memang mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan ini saya fikir komitmen yang cukup besar daripada peringkat KPM untuk memastikan perbincangan bersama (kerajaan) Sabah menyelesaikan isu-isu ini, semuanya dalam proses tindakan kita pada ketika ini,” katanya.
Malah, beliau turut memberitahu KPM juga akan mempertimbangkan permohonan daripada Ahli Parlimen Kalabakan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bekerjasama membina asrama desa di SK Kalabakan.
“KPM mahu mengambil beberapa pendekatan terbaik bagi memastikan hal pendidikan anak-anak di Sabah terus terbela,” katanya.







