
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bilangan 1/2025 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas menyelaras pendidikan prasekolah Islam.
Ahmad Zahid berkata, ia bertujuan memastikan penyampaian pendidikan awal kanak-kanak menjadi lebih tersusun, berkualiti dan selamat.
Katanya, beliau mengambil perhatian yang serius terhadap setiap isu sosial dan ekonomi yang boleh menggugat keharmonian serta masa depan negara.
“Justeru itu, saya telah mempengerusikan untuk memperkukuh dasar sosial negara secara menyeluruh.
“Kita mahu anak-anak kita mendapat asas yang kukuh bukan sahaja dalam ilmu, tetapi juga dalam nilai dan akhlak,” katanya menerusi kenyataan di Facebook di sini, hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan task force bagi menangani kebejatan sosial dalam kalangan pelajar tercicir termasuk penyalahgunaan dadah dan cabaran sosial lain agar tiada generasi muda tercicir daripada arus kemajuan.
Katanya, bagi 560 kanak-kanak di bawah jagaan GISB Holdings yang telah diselamatkan, kerajaan akan memperkukuh perlindungan mereka secara bersepadu.
Jelasnya, RM1.2 juta telah diperuntukkan untuk membantu pemulihan rohani, pembangunan jati diri dan advokasi keibubapaan demi memastikan masa depan mereka lebih terjamin.
“Mesyuarat turut bersetuju untuk membina sistem penjagaan jangka panjang bagi warga emas menjelang status Malaysia sebagai negara menua pada tahun 2030.
“Ini bukan sahaja untuk menghormati martabat mereka, tetapi juga memastikan qsistem sokongan sosial kita kekal mampan untuk masa depan,” katanya.






