 
        PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia menjalankan siasatan terhadap projek Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekiranya terdapat unsur rasuah atau penyelewengan dalam pelaksanaannya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka berhubung projek bernilai ratusan juta ringgit itu.
“Sehingga kini, SPRM tidak menerima sebarang aduan atau maklumat berkaitan projek Aerotrain tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) Ke-2 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azam menjelaskan SPRM perlu meneliti terlebih dahulu sama ada wujud sebarang kesalahan sebelum tindakan lanjut diambil.
“Ada atau tidak (kesalahan) bergantung kepada jenis kesalahan itu. Tidak semua kesalahan boleh diletakkan di bawah tanggungjawab SPRM kerana ia mungkin melibatkan isu tatakelola.
“Jika ia berada dalam bidang kuasa kami, sudah tentu siasatan akan dijalankan. Namun, jika sebaliknya, kami tidak boleh berbuat demikian,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka kertas siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berhubung beberapa insiden gangguan perkhidmatan Aerotrain di KLIA.
Sejak mula beroperasi semula pada 1 Julai lalu, perkhidmatan Aerotrain dilaporkan beberapa kali mengalami gangguan.

 
         
         
        