
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan andaian serta ramalan membuta tuli berhubung tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri yang tular dalam media sosial.
Istana Alam Shah dalam kenyataan memaklumkan baginda mengambil maklum spekulasi tersebut yang seolah-olah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Sehubungan itu, baginda menyeru semua pihak supaya bersabar dan tidak mudah mempercayai sebarang spekulasi tanpa asas selain merujuk kenyataan rasmi dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Selangor serta penjelasan menerusi khutbah Jumaat.
Menurut kenyataan itu, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri hanya akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada Khamis depan, 19 Mac, selepas mendapat perkenan Raja-Raja Melayu seperti amalan yang dilaksanakan sejak sekian lama di negara ini.
“Malaysia mempunyai kaedah penentuan awal Ramadan dan Syawal tersendiri melalui kaedah rukyah dan hisab yang dilaksanakan secara teratur serta berpandukan keputusan pihak berkuasa agama,” menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan tersebut, kaedah berkenaan telah lama dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan tidak perlu dibandingkan atau dipengaruhi penetapan yang dibuat negara lain.
Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 10 Mac lalu turut menjelaskan bahawa permulaan bulan Islam bergantung kepada kenampakan hilal (anak bulan) serta data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di sesebuah negara yang mempunyai matla’ ru’yah berbeza.
Dalam pada itu, baginda turut menyeru umat Islam tidak terlalu memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai tarikh Hari Raya sehingga melalaikan peluang memanfaatkan 10 malam terakhir Ramadan.
Tempoh tersebut disifatkan amat berharga untuk memperbanyakkan ibadah, berdoa serta memohon keampunan daripada Allah SWT.






