KUALA LUMPUR: Lelaki disyaki menembak mati seorang rakyat Malaysia di Sungai Golok, Narathiwat kelmarin, ditahan pihak berkuasa Thailand selepas menyerah diri semalam.
Suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu menyerah diri di Balai Polis Sungai Golok sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurut sumber keselamatan, siasatan awal mendapati lelaki terbabit memiliki dua kerakyatan, iaitu Thailand dan Malaysia.
“Suspek tampil menyerah diri malam tadi dan mempunyai dua dokumen pengenalan diri,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang rakyat Malaysia maut dipercayai ditembak 18 das di sebuah rumah di pekan Sungai Golok.
Mangsa, Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok pada kira-kira pukul 9 malam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, mengesahkan suspek utama kes berkenaan merupakan bekas pemain import bola sepak Kelantan.
