HULU TERENGGANU: Polis mengesahkan tiada kesan brek dikesan di lokasi sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terjunam ke dalam gaung di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring (Bukit Kawah) kelmarin sehingga meragut nyawa sepasang bakal pengantin.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, SUV berkenaan dipercayai dipandu terus ke kawasan laluan yang terputus akibat tanah runtuh sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam 61 meter.
Beliau turut mengesahkan papan tanda amaran serta penghadang jalan yang dipasang di lokasi berkenaan dialihkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sekali gus menyebabkan pengguna jalan raya tidak menyedari bahaya di hadapan.
Katanya, siasatan awal mendapati SUV tersebut tidak dipandu pada kelajuan tinggi berdasarkan serpihan yang ditemui di lereng gaung.
“Jika kenderaan dipandu laju, ia kebiasaannya akan ‘terbang’ sedikit sebelum jatuh ke dalam gaung.
“Bagaimanapun, berdasarkan serpihan yang ditemui, polis yakin SUV itu terus terjunam tanpa kelajuan tinggi,” katanya.
Sharudin menambah, punca kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian manusia, termasuk kegagalan memberi tumpuan ketika memandu.
Mengenai kamera papan pemuka (dashcam), beliau memaklumkan hanya tapak perakam ditemui dalam SUV tersebut, sementara kamera dipercayai tercampak ketika kejadian.
Operasi mengeluarkan kenderaan yang bermula pukul 2 petang semalam mengambil masa hampir empat jam berikutan keadaan hujan menyukarkan usaha membawa naik SUV berkenaan.
Kenderaan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, media melaporkan sebuah Toyota Fortuner dipandu guru, Hassan Shazali, 52, bersama pasangannya, pekerja kantin Suzaimah Che Azis, 34, terjunam ke dalam gaung pukul 5.30 petang Jumaat ketika dalam perjalanan ke Gua Musang, Kelantan.
Kedua-duanya maut di lokasi akibat cedera parah.
Pasangan itu merancang untuk menikah pada 25 Disember ini. Hassan yang mempunyai lima anak dan sudah bercerai, manakala Suzaimah adalah ibu tunggal tiga anak.
Jenazah Hassan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh, Kelantan pukul 9.10 malam tadi, manakala jenazah Suzaimah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir, Gua Musang, Kelantan pada 9.26 malam.
