KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) mematahkan cubaan menyeludup dadah disyaki methamphetamine bernilai lebih RM10.9 juta di Kuala Nerang, Kedah semalam.
Rampasan terbesar direkodkan tahun ini dilakukan selepas penahanan seorang lelaki warga Thailand, kira-kira 1.2 kilometer dari Kem Sahara di Kuala Nerang pada pukul 4.30 pagi.
Dalam kenyataan TDM, operasi berkenaan diketuai Kapten Muhammad Zulharif Abdul Rahim bersama lima anggota Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) turut menjumpai walkie-talkie, parang, beg pinggang dan lampu suluh.
Berikutan penahanan itu, pemeriksaan lanjut pada 7 pagi sepanjang laluan suspek menemukan 331 bungkusan berisi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah methamphetamine, masing-masing seberat satu kilogram.
Nilai setiap bungkusan dianggarkan RM33,000, menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM10.923 juta.
“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap pada 2.55 petang hari sama untuk tindakan lanjut,” katanya.
