
KUALA LUMPUR: Pembangunan tenaga kerja berkualiti menjadi antara teras utama dalam usaha memperkukuh asas ekonomi negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, sesebuah negara hanya mampu mengekalkan kekuatan mata wang apabila produktiviti buruh meningkat, kemahiran tenaga kerja dipertingkat dan tadbir urus negara dilaksanakan secara telus serta berintegriti.
“Justeru, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memainkan peranan strategik sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan negara.
“Dalam pembangunan tenaga kerja berkualiti, KESUMA memberi penekanan kepada latihan kemahiran berimpak tinggi, peningkatan kebolehpasaran graduan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemerkasaan Pendidikan dan TVET.
“Selain itu, penekanan juga diberikan kepada penguasaan kemahiran digital dan adaptasi teknologi baharu selari dengan keperluan industri masa hadapan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, pendekatan tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan produktiviti dan pendapatan rakyat malah memperkukuh daya saing negara sebagai destinasi pelaburan berkualiti di peringkat antarabangsa.
Katanya, Kerajaan MADANI telah mengangkat agenda reformasi ekonomi yang berpaksikan ketelusan, integriti, pelaburan berkualiti serta pembangunan insan.
“Agenda ini menjadi asas penting dalam membina semula keyakinan terhadap ekonomi negara dan seterusnya menyumbang kepada pengukuhan kedudukan ringgit.
“Pengukuhan nilai mata wang ringgit bukan sekadar mencerminkan pergerakan pasaran kewangan atau sentimen jangka pendek ekonomi global,” ujarnya.
Ramanan berkata, ia merupakan gambaran menyeluruh terhadap tahap keyakinan pelabur, kestabilan dasar negara, kekuatan institusi serta keupayaan modal insan Malaysia.
Beliau menjelaskan, KESUMA akan terus komited memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja mahir dan berdaya saing malah beretika, berdisiplin serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.
“Hakikatnya, pengukuhan ringgit bukan sekadar soal kadar pertukaran mata wang tetapi soal membina sebuah negara yang stabil, rakyat berdaya saing dan ekonomi mampan,” katanya.







