KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara ke-17.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia memaklumkan, Seri Paduka membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Jawatan Presiden Mahkamah Rayuan pula akan diisi oleh Abu Bakar Jais, sementara Azizah Nawawi akan menggalas tugas sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak menggantikan hakim yang bakal bersara.
“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara,” menurut kenyataan itu.
Wan Ahmad Farid menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu selepas memegang jawatan Ketua Hakim Negara selama enam tahun.
Wan Ahmad Farid, 62, pernah berkhidmat sebagai bekas timbalan menteri sebelum menjadi hakim.
Susulan persaraan Tengku Maimun, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, telah diumum menjalankan kuasa dan tugas Ketua Hakim Negara hingga jawatan itu diisi.
Sementara itu, Abu Bakar pula menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada 3 Julai lalu.
Susulan persaraan Abang Iskandar, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, dilantik untuk menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan hingga jawatan itu diisi.
