KUALA LUMPUR: Tragedi yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik pada 9 Jun lalu berpunca daripada pemanduan melebihi had laju yang ditetapkan.
Menurut laporan awal Pasukan Petugas Khas yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini, bas terbabit dipandu pada kelajuan 117 kilometer sejam (km/j) ketika kejadian, sedangkan had laju maksimum di laluan itu hanyalah 60 km/j.
“Analisis kinematik menunjukkan kelajuan yang dicatatkan melebihi had selamat untuk melalui selekoh berkenaan.
“Pemandu gagal mengawal kenderaan, menyebabkan bas tergelincir sebelum terbalik ke sisi kiri jalan,” menurut laporan itu.
Kenderaan tersebut kemudian bergesel dengan penghadang jalan jenis W-beam, yang menembusi ruang kabin dan mengakibatkan kecederaan parah serta kematian dalam kalangan penumpang.
Walaupun pemandu bas mendakwa berlakunya kegagalan sistem brek, siasatan awal tidak menemui sebarang bukti kukuh mengenai kerosakan teknikal.
Namun, pemeriksaan mendapati terdapat tanda-tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek, yang berkemungkinan berpunca daripada penggunaan brek secara berlebihan atau tidak sesuai.
MOT menjelaskan penilaian teknikal yang lebih terperinci giat dijalankan dan sebarang dapatan lanjut akan dimuatkan dalam Laporan Akhir yang bakal diterbitkan.
