
KUALA LUMPUR: Isu panas membabitkan penyanyi tersohor Shila Amzah dan legenda rock tanah air Datuk Amy Search kini memasuki fasa baharu apabila polis mengesahkan siasatan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, pihaknya sudah merakam empat keterangan, termasuk daripada kedua-dua artis terkenal itu, dan kini hanya menunggu keputusan AGC.
“Kami maklum Datuk Amy Search juga sudah membuat laporan polis.
Siasatan masih diteruskan secara teliti dan jika perlu, saksi lain akan dipanggil,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur, hari ini.
Insiden ini tercetus selepas Shila membuat laporan polis pada 10 Julai lalu, mendakwa dia diserang oleh seorang penyanyi legenda semasa sesi latihan konsert di Stadium Merdeka.
Spekulasi segera bertebaran dalam media sosial, dan Shila akhirnya mengesahkan individu itu ialah Amy Search, bapa kepada pelakon Nabila Huda.
Kejadian dikatakan berpunca daripada ketegangan peribadi apabila Amy dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan Shila yang didakwa ‘masuk campur’ urusan keluarganya.
Susulan laporan Shila, Amy pula tampil membuat laporan di Balai Polis Shah Alam, yang menurut pihak berkuasa dikategorikan sebagai laporan penutup.
Peguam beliau, Datuk M Reza Hassan, memaklumkan laporan tersebut dibuat sejurus selepas Amy memberi keterangan kepada polis.







