BANGI : Pemegang lesen kenderaan barangan (GDL) serta Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang digantung, diwajibkan mengikuti kursus pemulihan sebelum kelayakan lesen mereka dipertimbangkan semula.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, inisiatif tersebut kini dalam peringkat perincian akhir dan dijangka dilaksanakan secara rintis bermula November depan.
Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPJ untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan tahap profesionalisme dalam kalangan pemandu lori dan bas.
“Pemandu-pemandu lesen GDL dan PSV yang digantung lesen akan diwajibkan menghadiri kursus pemulihan sebelum lesen mereka boleh dikembalikan. Ini penting untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Kita sedang meneliti beberapa aspek pelaksanaan membabitkan modul atau latihan bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan peringkat awal pelaksanaan dijangka dimulakan pada November sebagai projek perintis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sesi Libat Urus Bersama Persatuan Pengusaha Lori dan Pengusaha Bas Ekspres dan Pelancongan Berkaitan Inisiatif Keselamatan Jalan Raya di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Aedy Fadly turut memaklumkan bahawa satu rombakan besar-besaran terhadap Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) sedang giat dilaksanakan.
Katanya, kajian secara menyeluruh terhadap sistem tersebut berada di peringkat akhir oleh JPJ sebelum dibawa kepada MOT untuk kelulusan menteri.
“Kami sudah bentangkan cadangan ini dua kali kepada menteri dan beberapa penambahbaikan serta pindaan perlu dilakukan, termasuk kaedah pengiraan mata demerit,” katanya.
Jelas beliau, pindaan itu dijangka meningkatkan keberkesanan sistem dalam mendidik pemandu serta mengurangkan kadar pelanggaran undang-undang jalan raya.
Katanya, langkah itu dilihat sebagai usaha menyeluruh kerajaan dalam menambah baik sistem penguatkuasaan lalu lintas serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya secara holistik.
