
PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka membentangkan satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang lebih inklusif dan komprehensif berkaitan e-dagang pada tahun hadapan, sebagai langkah memperkukuh perlindungan pengguna serta memastikan kawal selia yang lebih berkesan terhadap pengendali platform dalam dan luar negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, RUU tersebut juga akan merangkumi mekanisme penguatkuasaan ke atas platform e-dagang antarabangsa bagi memastikan pematuhan terhadap perundangan sedia ada di Malaysia.
Menurut beliau, kerajaan masih meneliti sama ada rangka perundangan itu akan diwujudkan melalui pindaan kepada Akta Perdagangan Elektronik 2006, atau menerusi penggubalan sebuah akta baharu khusus bagi e-dagang.
“Ketika ini, Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang telah memasuki fasa akhir dan dijangka dimuktamadkan pada Ogos ini. Sebaik sahaja selesai, kita akan merumuskan kerangka RUU ini, tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri dan Pejabat Peguam Negara (AGC),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang: Langkah Strategik ke Arah Kerangka Perundangan Yang Lebih Inklusif dan Komprehensif, di sini hari ini.
Tambah Armizan, kementeriannya menyasarkan supaya proses libat urus berkenaan dapat diselesaikan selewat-lewatnya hujung tahun ini, sebelum RUU dibawa ke peringkat Parlimen.
“Kita berharap agar proses pemuktamadan dapat dilakukan dengan segera dan dokumen akhir dapat diserahkan kepada AGC dan Kabinet selewat-lewatnya sebelum berakhir tahun ini. Jika semuanya berjalan lancar, kita mensasarkan pembentangan RUU ini pada sesi pertama Sidang Parlimen tahun depan,” katanya lagi.





