KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneliti semula keputusan merobohkan sembilan gerai penjaja di Desa Pandan bagi memberi laluan kepada projek pelebaran jalan.
Menurut beliau, gerai-gerai terbabit telah beroperasi secara sah selama bertahun-tahun dan menjadi punca rezeki utama kepada para peniaga.
“Mereka ini sudah berniaga di sini bertahun-tahun dan memiliki lesen sah. Ini adalah punca pendapatan mereka. Tindakan DBKL merobohkan gerai secara tiba-tiba amat mengejutkan mereka,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Johari, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi serta menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, turut melahirkan rasa kesal kerana keputusan tersebut dibuat tanpa sebarang sesi libat urus bersama beliau sebagai wakil rakyat dan kumpulan peniaga yang terkesan.
Beliau mempersoalkan rasional pelaksanaan projek pelebaran jalan tersebut, yang dikatakan bertujuan memberi laluan kepada kenderaan berat termasuk treler, sedangkan laluan itu bukan jalan utama.
“Saya difahamkan kontraktor projek telah dilantik sebelum sebarang libat urus dilakukan bersama penduduk atau wakil rakyat. Tambahan pula, pelebaran ini tidak konsisten kerana kurang 100 meter dari lokasi itu, jalan kembali sempit.”
“Kenapa perlu robohkan gerai untuk projek pelebaran ini? Jika sembilan gerai ini dirobohkan, bagaimana pula nasib 60 lagi peniaga di hadapan sana?,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar jalan terbabit ditutup sepenuhnya kerana ia hanya merupakan jejambat merentasi saluran perparitan, yang sering kali menjadi lokasi treler tersangkut.
“Saya mohon agar pelaksanaan projek ini ditangguhkan, dan saya bersedia berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa,” katanya.
DBKL dalam kenyataan semalam menegaskan bahawa proses pengosongan tapak perniagaan itu telah dilaksanakan secara telus mengikut prosedur, termasuk sesi libat urus dan penyampaian maklumat rasmi kepada pihak berkaitan seperti persatuan dan peniaga.
Bagaimanapun, tindakan tersebut mencetuskan ketegangan sehingga tular sebuah video berdurasi 50 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki mengamuk sambil memegang parang ketika operasi dijalankan.
Susulan kejadian itu, pihak polis menahan lelaki berkenaan bersama sebilah parang panjang dan kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam.
