
KOTA TINGGI: Sebanyak 30 peratus peserta daripada dua siri awal Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 gagal hadir menjalani latihan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, antara alasan utama ketidakhadiran termasuk masalah kesihatan dan tawaran melanjutkan pengajian ke universiti.
“Setakat ini, bagi setiap siri, sekitar 10 hingga 15 peratus peserta tidak hadir. Kebanyakannya memberi alasan seperti sakit atau baru menerima tawaran universiti,” katanya selepas merasmikan Majlis Kembara Lestari Kota Tinggi bersama Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah di Felda Lok Heng Barat, hari ini.
Mohamed Khaled menjelaskan, PLKN 3.0 masih berada dalam fasa percubaan dan pelaksanaan sepenuhnya dijangka bermula tahun depan.
Program tersebut mengekalkan tempoh latihan selama 45 hari dan menerima maklum balas positif, khususnya berkaitan elemen latihan ketenteraan yang dilihat mampu membentuk disiplin dan jati diri peserta.
“Ramai peserta memberikan maklum balas baik dan mencadangkan supaya elemen ketenteraan dalam latihan ini dipertingkatkan,” katanya.
PLKN 3.0 Siri 1/2025 dijalankan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur dari 12 Januari hingga 25 Februari lalu, manakala Siri 2/2025 berlangsung dari 11 Mei hingga 24 Jun.
Siri ke-3 dijadual bermula 7 September hingga 21 Oktober ini dan akan diadakan di dua lokasi iaitu Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang.





