KUALA NERUS: Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron menyifatkan pendekatan yang digunakan dalam penganjuran program motivasi rumah tangga eHATI sebagai memalukan, khususnya kepada kaum wanita, dan tidak selari dengan nilai serta akhlak Islam.
Beliau berkata, program seumpama itu tidak sepatutnya disertai oleh mana-mana individu beriman, lelaki mahupun wanita, kerana kandungannya yang didakwa menyimpang daripada batasan syariah dan adab Islam.
“Pendekatan dalam program itu sangat tidak wajar, terlalu berfokus kepada unsur negatif dan jauh menyimpang daripada norma dan nilai Islam.
“Ia mencemarkan martabat wanita serta tidak mencerminkan akhlak Islam,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Terengganu Bertadabbur anjuran Yayasan Pendidikan MAIDAM, di sini, hari ini.
Mohamad Sabri turut menyeru pihak berkuasa lebih berhati-hati dan teliti dalam meluluskan sebarang program motivasi yang berpotensi menyentuh sensitiviti agama dan nilai masyarakat.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan berlaku aktiviti tidak senonoh melibatkan empat individu yang berbogel ketika program eHATI berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam, antara 27 hingga 30 September tahun lalu.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku pada waktu malam dalam satu segmen dikenali sebagai ‘Queens Night’ yang dianjurkan oleh pihak penganjur eHATI.
Susulan insiden itu, enam individu termasuk pengasas program dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk proses reman.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 294 dan 504 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Mufti Terengganu berkata, pihaknya masih belum dapat mengesahkan sama ada terdapat penyertaan dari negeri itu, namun beliau menasihatkan penduduk Terengganu agar menjauhi sebarang program yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Beliau turut menjangkakan pihak berkuasa akan memperketatkan garis panduan atau mengenakan pemantauan lebih rapi terhadap program motivasi pada masa akan datang bagi mengelak kejadian serupa berulang.
