
KLANG: Bekas pengarah syarikat pengendali umrah Emraz Travel and Tours Sdn Bhd, didakwa bagi dua pertuduhan salah guna wang bayaran pakej umrah yang sepatutnya digunakan untuk pelanggan, namun tidak dilaksanakan dua tahun lalu.
Namun, Datuk Zulkarnain Endut, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di dua mahkamah berbeza.
Pertuduhan pertama melibatkan penyalahgunaan wang sebanyak RM27,960.20 milik seorang lelaki di Jalan Tanjung Shawal, antara 1 Februari hingga 28 Julai 2023.
Manakala pertuduhan kedua pula berkaitan wang bayaran RM21,000 untuk pakej umrah di Bandar Sultan Suleiman yang gagal dilaksanakan antara 23 Februari hingga 9 Mac tahun lalu.
Dalam kes kedua, Zulkarnain didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas.
Kedua-dua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, sebatan, dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi dan Ahmad Sulfie Abu Hassan yang masing-masing memohon jaminan RM10,000 dan RM15,000.
Mahkamah membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM8,500 dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 September ini.
Dalam pembelaan, peguam Zulkarnain, Muhammad Nur Aiman Mohd Lazim, menjelaskan syarikat Emraz Travel sudah ditutup sejak 15 Julai tahun lalu, dengan akaun syarikat dan akaun peribadi tertuduh disita untuk membayar balik wang kepada pelanggan yang terjejas.
Beliau turut memaklumkan tertuduh kini tiada pendapatan dan bergantung kepada bantuan adik-beradiknya untuk menyara keluarga.
Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen syarikat tersebut berkuat kuasa 11 Mac tahun lalu, manakala Lembaga Tabung Haji menggantung lesen Emraz Travel pada 2 April sebagai langkah melindungi bakal jemaah haji susulan aduan mengenai perkhidmatan mereka.






