KUALA LUMPUR: Jurulatih seni bela diri campuran (MMA), Tony Lim tampil menjelaskan insiden pergaduhan dengan seorang pengawal keselamatan yang tular baru-baru ini dengan mendakwa tindakannya untuk mempertahankan diri selepas diprovokasi.
Pendedahan tersebut dibuat menerusi satu video yang dimuat naik oleh penyanyi rap dan aktivis tempatan, Caprice, di laman Instagram.
“Lelaki itu memprovokasi saya, dan saya hanya bertindak untuk mempertahankan diri,” jelas Tony dalam rakaman tersebut.
Menurutnya, kejadian berlaku selepas satu konfrontasi terdahulu antara pengawal keselamatan berkenaan dan seorang penduduk di kondominium yang sama, turut dirakam dan tular dalam media sosial.
“Dalam video pertama yang tular, dia (pengawal keselamatan) bertengkar dengan seorang penduduk. Saya juga menyaksikan dia memukul bapa kepada penduduk tersebut,” katanya.
Tony menjelaskan ketegangan memuncak apabila dia turun ke kawasan kondominium pada malam Khamis lalu dan bertembung dengan pengawal keselamatan yang hadir bersama dua individu dipercayai majikannya.
“Mereka menunjuk ke arah saya, seorang wanita dan seorang lelaki.
“Pengawal itu bertanya, adakah kamu yang tularkan video itu? Adakah kamu yang tinggalkan komen pada video itu?’,” katanya.
Tony turut menafikan dakwaan dia yang menyebarkan video berkenaan.
“Saya ingin jelaskan di sini, saya bukan individu yang menularkan video tersebut,” katanya.
Tony memaklumkan pengawal keselamatan terbabit kini sudah diberhentikan kerja.
Katanya, sebagai pengamal seni bela diri, tindakannya adalah semata-mata untuk mempertahankan diri.
“Kami dilatih untuk mempertahankan diri, bukan untuk mencetuskan kekacauan. Saya tidak mahu perkara ini berlaku, namun saya perlu melindungi diri saya,” katanya.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan kondominium atau syarikat keselamatan yang terlibat. Status siasatan polis juga masih belum dapat dipastikan.
