KEPALA BATAS: Seorang lelaki warga asing maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta mereka terbabas sebelum merempuh tembok Plaza Tol Sungai Dua, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.43 malam itu, mangsa yang memandu kenderaan jenis Perodua Aruz disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang lelaki berusia 42 tahun mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut sebelum sebuah jentera bersama lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya di lokasi, didapati kedua-dua mangsa tersepit di bahagian pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan.
“Seorang mangsa iaitu penumpang dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kedua yang merupakan pemandu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas pada pukul 11.15 malam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Katanya, setakat ini tiada maklumat lanjut mengenai identiti mangsa yang maut.
