Nasional

1,235 terima sijil, diploma PICOMS

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Seramai 1,235 graduan menerima diploma dan sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-10, Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PICOMS) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

GRADUAN ceria ketika majlis konvokesyen ke-10 Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PICOMS) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kesemua graduan sijil lanjutan dan diploma diraikan dalam dua sidang konvokesyen yang berasingan.

Naib Canselor PICOMS, Prof. Dr. Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berkata, sejak 1993 sehingga kini, PICOMS telah berjaya melahirkan sejumlah hampir 6,000 graduan daripada pelbagai bidang sains perubatan dan pengurusan.

Jelasnya, pada majlis konvokesyen kali ini, graduan adalah terdiri daripada lulusan dalam 12 program iaitu Diploma Farmasi; Diploma Sains Kejururawatan; Diploma Sains Perubatan; Diploma Pembantu Perubatan; Diploma Kesihatan Persekitaran; Diploma Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan; Diploma Teknologi Makmal Perubatan; Diploma Pengurusan Hotel; Diploma Pengurusan Logistik; Diploma Fisioterapi; Diploma Terapi Carakerja dan Certificate in Post Basic Renal Nursing.

“PICOMS turut menganugerahkan Anugerah Graduan Cemerlang yang dipilih daripada setiap program dan Anugerah Emas Perdana MAIWP,” katanya.

Majlis konvokesyen kali ke-10 ini disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee manakala sidang kedua oleh Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

PROF. DR. WAN MOHD AZIZI WAN SULAIMAN menyampaikan gambar kenang-kenangan kepada Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid sempena majlis konvokesyen ke-10 Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PICOMS).

Anugerah Emas Perdana MAIWP pada tahun ini dianugerahkan kepada Ahmad Fathi Basri (Diploma Farmasi), berdasarkan kecemerlangan luar biasa yang ditonjolkan di dalam akademik dengan memperoleh Anugerah Dekan setiap semester dan seterusnya CGPA 3.91.

Antara resipi kejayaan merangkul Anugerah Dekan setiap semester ialah dengan memberi tumpuan di dalam kelas selain anak ketiga daripada enam beradik itu turut aktif aktiviti ko-kurikulum seperti bola sepak dan badminton.

AHMAD FATHI BASRI menerima Anugerah Emas Perdana MAIWP berdasarkan kecemerlangan luar biasa yang ditonjolkan di dalam akademik sempena majlis konvokesyen ke-10 Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PICOMS).

Dr. Wan Mohd. Azizi menambah, tahap kebolehkerjaan graduan PICOMS sejak tiga tahun kebelakangan ini adalah pada kadar 90 peratus.

“Ini menunjukkan penerimaan yang tinggi dalam kalangan majikan terhadap graduan PICOMS. Sehubungan itu, kita berkeyakinan tinggi graduan PICOMS akan terus mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan,” katanya.

Untuk memberi nilai tambah pada graduan PICOMS, pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengatur dan menyediakan peluang kerjaya setelah tamat pengajian.

Terbaharu, PICOMS melancarkan laluan kerjaya antarabangsa melalui Program German Professional Employment kepada graduan yang ingin bekerja di hospital-hospital kerajaan dan swasta di Jerman.

SEBAHAGIAN daripada graduan Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PICOMS) ketika majlis konvokesyen ke-10 institusi pendidikan tinggi itu.

Malah jelas Dr. Wan Mohd. Azizi, PICOMS telah mendapat status mutawali sebagai pusat wakaf melalui Pusat Wakaf myrahmah PICOMS selain diberi tanggungjawab sebagai pelaksana pusat zakat.

“Ini adalah ke arah menjadikan PICOMS sebagai universiti wakaf pertama di Malaysia,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *