
ONG KIAN MING (tiga dari kanan) dan Lei Liqun (tiga dari kiri) ketika merasmikan Pusat Perkongsian Pintar (SSC) global China Mobile International (CMI) yang pertama di Cyberjaya, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 3 Dis. – Gergasi telekomunikasi China, China Mobile, menerusi anak syarikat luar negaranya, China Mobile International (CMI) secara rasminya melancarkan Pusat Perkongsian Pintar (SSC) global yang pertama di Cyberjaya.
Pembukaan SSC itu menandakan permulaan baharu CMI yang merancang mengembangkan operasinya di rantau ini.
CMI dalam satu kenyataan menjelaskan, dengan mengambil kira bilangan bakat yang besar di Malaysia, operasi terkini CMI akan berpusat di pejabat sedia ada di Menara i-Tech, yang akan mengendalikan kewangan kumpulan, undang-undang dan sumber manusia serta beberapa fungsi lain.
Pembukaan SSC itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming yang mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih di atas pemilihan Malaysia sebagai pusat SSC yang pertama.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ng Wan Peng; Pengarah Urusan Cyberview Sdn. Bhd., Mohd Najib Ibrahim; Pengarah, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan CMI, Lei Liqun; Ketua Rantau Asia Pacific China Mobile International, Merrick Wang serta Pengarah Urusan China Mobile International Malaysia, Hew Chee Chung.

“Dengan kehadiran CMI di Malaysia, ini akan menyediakan pelbagai perkhidmatan perkongsian sekali gus mengukuhkan keupayaan teknologi tempatan khususnya di dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
“Teknologi IR4.0 telah banyak menyokong pembangunan industri telekomunikasi dan digital Malaysia selain dikenal pasti sebagai pemboleh utama untuk pembangunan industri di Malaysia, terutamanya bagi industri perkhidmatan dan pembuatan,” jelas Kian Ming.
Sementara itu, Liqun berkata, ini adalah masanya untuk CMI mengembangkan operasinya menerusi SSC bagi memanfaatkan kebolehan pelbagai bahasa, infrastruktur yang mantap, sokongan kuat kerajaan bagi pemusatan perundangan global, fungsi sumber manusia dan kewangan.
“Bergerak ke depan, SSC dijangka memainkan peranan penting bagi meningkatkan kecekepan di dalam operasi keseluruhan teras perniagaan CMI.
“Sebagai operator terbesar telekomunikasi di dunia, kami yakin CMI mampu meningkatkan nilai yang kami sediakan kepada para pelanggan dan perkhidmatan secara global,” katanya.
Sementara itu, Wan Peng menjelaskan, kehadiran SSC membuktikan keupayaan Malaysia sebagai lokasi strategik untuk perkhidmatan digital yang dikuasakan oleh teknologi IR4.0 seperti automasi dan analisis data.
“MDEC amat yakin dengan melabur di Malaysia, CMI akan membawa kepakaran dan ilmu ke negara ini bagi menambah ekosistem bakat dan inovasi sekali gus memanfaat negara ke arah berpendapatan tinggi,” katanya.
Operasi pertama CMI yang ditubuhkan lebih tiga tahun lalu menawarkan teknologi canggih syarikat, pengalaman beroperasi secara global dan penyelesaian teknologi maklumat yang tiada tandingan.