
KUALA LUMPUR: Seramai 160 pelajar tingkatan enam akan memulakan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) bermula 10 Jun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kesemua pelajar ini terlibat program rintis pertama yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan.
“Program melibatkan 100 pelajar di UKM dan 60 pelajar di USM merupakan permulaan ke arah memperkasa pendidikan prauniversiti di institusi pengajian tinggi awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Simbolik Penyerahan Koleksi Komik Wira Anti Rasuah di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Tambah Fadhlina, inisiatif tersebut dimulakan di dua universiti terlebih dahulu bagi menilai keberkesanan pelaksanaan sebelum diperluaskan ke kampus-kampus lain.
“Daripada segi komitmen kami untuk meningkatkan kualiti dan martabat pendidikan tingkatan enam, program-program seperti ini diyakini dapat memberi manfaat besar kepada pelajar,” katanya.
Fahdlina berkata, segala persiapan rapi telah dilakukan oleh pihak kementerian bagi memastikan kelancaran kemasukan pelajar serta perjalanan program terbabit.
“Guru-guru dari Kementerian Pendidikan akan ditempatkan secara khusus di universiti berkenaan untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut silibus tingkatan enam.
“Bagi pihak KPM, kami sudah bersedia. Guru-guru kami juga telah bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran UKM dan USM,” katanya.







