
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah proaktif ke arah memastikan Malaysia sentiasa ke hadapan dalam semua aspek terutamanya melibatkan penyediaan infrastruktur sistem komunikasi berkelajuan tinggi.
Timbalan Pengerusi Kluster ICT Majlis Profesor Negara, Prof Dr Rusli Abdullah berpendapat, ia selaras dengan inisiatif kerajaan ke arah penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), data raya, komputeran awan dan sebagainya.
“Ia juga merupakan satu perkongsian bijak yang diusahakan kerajaan bagi menjamin kelestarian rangkaian 5G dapat dinikmati semua pihak secara inklusif dan berdaya saing,” katanya ketika dihubungi Ceritera di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kemudahan sambungan internet berkelajuan tinggi menerusi rangkaian 5G sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, hasil inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sementara itu, Rusli turut mengulas mengenai inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang telah melebihi sasaran, dengan lebih 9.03 juta premis mendapat akses kepada internet berkelajuan tinggi dan gentian optik pada akhir 2024.
Katanya, ia merupakan satu initiatif strategik kerajaan yang bertujuan untuk mempertingkatkan infrastruktur dan liputan pendigitalan negara.
“Ia bertujuan ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar kepada rakyat secara inklusif bagi menutup jurang digital antara kawasa bandar dan luar bandar,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha tersebut dapat melestarikan pelaksanaan aplikasi pintar dengan menggunakan teknologi terbaharu seperti 5G secara komprehensif dan meningkatkan capaian ke arah ekonomi digital secara meluas di seluruh negara.





