
PUTRAJAYA: Kerajaan sentiasa berwaspada dengan peningkatan kes penyakit penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dan Covid-19, di beberapa lokasi ketika ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkifli Ahmad berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM) kini memantau hampir sepanjang masa susulan peningkatan bagi kedua-dua kes berkenaan.
Katanya, beberapa prosedur sedia ada telah dilaksanakan dan Kemneterian Kesihatan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan waspada.
“Walaupun Covid-19 kini dianggap endemik seperti penyakit berjangkit lain, namun ia tetap boleh mengalami gelombang wabak secara berkala.
“Maka, penting untuk kita tidak leka, tidak terlalu selesa, dan sentiasa mengekalkan pertimbangan yang wajar,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Katanya, pihaknya amat menekankan program imunisasi kerana jikamia diabaikan boleh menjadi penyebab penyakit berjangkit tertentu boleh kembali muncul seperti seperti Polio, Campak dan Difteria.
Justeru, katanya, sasaran liputan imunisasi sekurang-kurangnya 95 peratus amat kritikal untuk memastikan imuniti kelompok dapat dicapai dan dikekalkan.
Pada masa sama, katanya, terdapat banyak maklumat salah dalam talian yang mengganggu keyakinan ibu bapa terhadap vaksin dan kerjasama semua pihak, terutama ibu bapa, amat penting untuk memastikan anak-anak dilindungi.
“Walaupun hanya satu nyawa hilang, impaknya besar kepada keluarga. Maka, jangan ambil ringan dan pastikan anak-anak mendapat imunisasi lengkap,” katanya.




