
KUALA LUMPUR: Keupayaan kerajaan mengurangkan defisit fiskal pada akhir Mac tahun ini menjadi kayu pengukur ekonomi negara berada pada landasan sewajarnya.
Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, keadaan itu hasil daripada pelan perbelanjaan kerajaan secara optimum, sejajar dengan keperluan semasa negara.
Namun, katanya, peningkatan ekonomi negara masih belum dapat dinikmati sepenuhnya masyarakat, khususnya golongan B40.
“Ekonomi kita semakin baik, tapi pada masa sama rakyat terus mengeluh dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, harga barangan meningkat.
“Bila keadaan itu berlaku, rakyat menganggap ekonomi kita merudum walaupun kita semakin ke arah lebih bagus.
“Itu secara tidak langsung menunjukkan rakyat belum menikmati sepenuhnya peningkatan ekonomi negara,” katanya kepada Ceritera.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan sebelum ini berkata, defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pada akhir Mac 2025 berkurangan kepada RM21.9 bilion, berbanding RM26.4 bilion pada akhir Mac 2024, didorong oleh kutipan hasil yang lebih tinggi dan pengoptimuman perbelanjaan sejajar dengan inisiatif konsolidasi fiskal.
Katanya, hasil Kerajaan Persekutuan meningkat sebanyak tiga peratus berbanding suku yang sama tahun 2024 kepada RM72.1 bilion, didorong oleh kutipan cukai yang lebih tinggi, terutamanya daripada peningkatan hasil Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kutipan cukai pendapatan individu.
Menurutnya, jumlah perbelanjaan menurun sebanyak 2.5 peratus kepada RM94.2 bilion, terutamanya disebabkan pengurangan perbelanjaan subsidi berikutan pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel dan harga minyak global yang lebih rendah.
Bagi membolehkan rakyat menikmati sepenuhnya peningkatan ekonomi, kerajaan perlu meningkatan tangga pendapatan golongan pekerja dan berusaha menurunkan kos sara hidup.
Beliau berkata, melalui dua pendekatan itu, kuasa beli rakyat akan meningkat dan akhirnya memberi kesan lebih positif kepada pembangunan ekonomi negara.
“Peningkatan ekonomi bukan hanya hasil daripada pelan perbelanjaan negara yang bersistematik, tetapi juga didorong oleh kuasa membeli rakyat.
“Formula mudahnya, semakin banyak dibeli rakyat, semakin tinggi hasil keuntungan sektor perniagaan dan akhirnya mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Bagaimanapun, Barjoyai memberitahu, menaikkan gaji dan menurunkan kos sara hidup bukan perkara mudah untuk dilakukan kerana ia melibatkan pelbagai faktor.
Beliau berkata, kenaikan gaji penjawat awam baru-baru ini antara pendorong kepada kestabilan ekonomi, namun langkah itu sukar dilakukan di sektor swasta.
“Kenaikan gaji minimum dari RM1,500 kepada RM1,700 baru-baru ini menggembirakan banyak pihak, namun tidak semua majikan mampu melakukannya kerana terikat dengan pelbagai faktor, terutamanya industri yang beroperasi kecil-kecilan.
“Jadi, keadaan itu menyebabkan masih ada golongan masyarakat yang belum memperoleh tangga gaji yang selesa, sekali gus mengehadkan perbelanjaan dan mereka akan rasa ekonomi kita tidak begitu baik,” katanya.
Barjoyai berkata, ekonomi negara boleh naik berlipat ganda sekiranya wujud situasi menang-menang antara kerajaan dengan rakyat.
Katanya, rakyat dan kerajaan ‘saling memerlukan’ untuk memastikan semua sektor dalam negara dapat berjalan lancar.




