21 ditahan kemukakan butiran palsu penyata akaun


 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan 21 individu termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan.

Penahanan yang disahkan oleh Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap melibatkan suspek berusia antara 31 dan 77 tahun dari sekitar Bangi, Selangor dan Kedah semalam.

Mereka yang ditahan terdiri daripada pemilik, pengarah dan pengurus syarikat selain kontraktor serta individu bekerja sendiri.

Kesemua suspek ditangkap kerana didakwa mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan untuk melayakkan syarikat mereka memasuki tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara, lapor FMT.

SPRM kini mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dan sedang mendapatkan dokumen penting dalam kes itu, selain merakam pernyataan beberapa saksi dan menjangkakan lebih banyak tangkapan bakal dilakukan.- BebasNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *