
SUBANG JAYA: Bau busuk yang menyelubungi sebuah blok pangsapuri di sini membawa kepada penemuan 41 bangkai kucing dipercayai mati akibat pengabaian di sebuah unit kediaman, semalam.
Selain itu, 36 ekor kucing lain turut ditemukan dalam keadaan kritikal dan diselamatkan dalam operasi oleh pihak berkuasa.
Unit berkenaan yang didakwa dijadikan pusat perlindungan haiwan tidak rasmi berada dalam keadaan kotor dan tidak terurus, dengan bangkai kucing ditemui bergelimpangan di dalam sangkar serta di atas lantai tanpa bekalan makanan dan air.
Menurut sumber seperti yang dilaporkan Kosmo!, kucing yang masih hidup mengalami dehidrasi teruk, badan terlalu kurus serta dijangkiti pelbagai penyakit akibat persekitaran yang tercemar dengan sisa najis.
Jurucakap kumpulan penyelamat haiwan menyifatkan keadaan di dalam unit tersebut amat menyayat hati, apabila kebanyakan haiwan yang terselamat berada dalam keadaan trauma dan terlalu lemah untuk bergerak.
Premis berkenaan disewa oleh seorang individu dengan alasan untuk menyelamatkan haiwan jalanan, namun keadaan didakwa menjadi tidak terkawal sehingga mengakibatkan pengabaian serius.
Kes kini disiasat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan pihak polis di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan penganiayaan dan pengabaian haiwan.







