
KUALA LUMPUR: Bagi terus memperkasakan bakat komuniti India, Malaysian Indian Skills Initiative (MISI) mengambil pendekatan meningkatkan kemahiran masyarakatnya menerusi Program Kecekapan Penyelenggaraan dan Pembaikan Dron.
Inisiatif di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menyaksikan penyertaan lebih 6,000 peserta dari seluruh negara.
“Program itu juga mendedahkan peserta dengan pengetahuan mengenai Kecerdasan Buatan, Pertanian Pintar dan Teknologi Dron sejajar dengan keperluan industri terhadap tenaga mahir.
“Sesi latihan yang diadakan bermula 16 hingga 20 Februari 2025 di Institut Latihan Perindustrian Perai, Perai, Pulau Pinang tersebut bertujuan untuk merapatkan jurang industri dengan mempersiapkan peserta untuk peluang menjana pendapatan dalam sektor dron yang berkembang pesat.
“Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan, sekali gus menunjukkan permintaan yang semakin meningkat terhadap latihan dron yang khusus selain membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kemahiran bakat bangsa India di Malaysia untuk kerjaya masa hadapan,” menurut MISI dalam kenyataan.

Latihan selama lima hari (40 jam), yang diperakui oleh The Institute of Drone Technology (IDT), Australia, memberi peserta pengalaman secara langsung dalam pembaikan, penyelenggaraan serta operasi dron autonomi, memastikan mereka memenuhi piawaian keselamatan industri global.
Seorang daripada peserta, R. Narrendra, 20 turut melahirkan penghargaan terhadap inisiatif tersebut dengan mengatakan inisiatif seumpama ini mampu memperkasakan tenaga kerja untuk berada di barisan hadapan inovasi.
“Teknologi dron sedang membentuk masa depan pelbagai industri, dan dengan penggunaan dron yang meluas dalam sektor pertanian serta perkhidmatan pemantauan, pensijilan ini memberi saya kelebihan daya saing dalam mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Seorang lagi peserta turut menyatakan keterujaannya terhadap program ini. K. Nalan, 20, yang sedang meneroka pilihan kerjaya berkata, program berkenaan membuka peluang baharu untuk meneroka pekerjaan dalam sektor teknologi.
“Saya sangat teruja dengan peluang ini. Terima kasih Kerajaan Madani,”katanya.
Dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), sedang merevolusikan operasi perniagaan dengan meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos, dan mempertingkatkan keselamatan.