
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia bukan malas bekerja, sebaliknya peluang pekerjaan di bandar tidak mendatangkan nilai ekonomi kepada mereka terutama golongan B40.
Ia berikutan kadar gaji yang ditawarkan tidak setimpal dengan kos sara hidup yang perlu ditanggung pekerja.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keadaan itu menyebabkan ramai kurang berminat bekerja di bandar kerana sebahagian besar pendapatan bulanan terpaksa digunakan untuk membayar sewa rumah dan kos pengangkutan.
Beliau menambah, situasi itu lebih membebankan golongan pekerja yang menerima gaji sekitar RM2,500 hingga RM3,000 sebulan apabila mereka perlu memperuntukkan sehingga RM1,500 untuk sewa rumah serta hampir RM1,000 lagi bagi kos pengangkutan.
“Rakyat kita bukannya pemalas, cuma mereka kurang berminat bekerja di bandar kerana tiada economic value, selain perlu menyewa rumah pada kadar tinggi.
“Bayangkan kalau gaji baru RM3,000 dan perlu bayar sewa rumah hingga RM1,500 serta hampir RM1,000 lagi untuk kos pengangkutan.
“Mereka juga perlu menampung perbelanjaan lain, sekali gus menyebabkan pendapatan boleh guna semakin mengecil. Bagaimana rakyat kita boleh survive dalam keadaan ini,” katanya.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Projek serta Perasmian Kampung dan Sekolah Angkat MADANI di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Hairil Yahri Yaacob dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Abu Bakar Yusof.
Johari menambah, ketidakseimbangan antara pendapatan dan kos kehidupan itu menyebabkan pekerjaan di bandar semakin tidak menarik khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.
Katanya, keadaan berkenaan turut mendorong pekerja memilih untuk tinggal di kawasan pinggir bandar atau luar bandar bagi mendapatkan kediaman dengan kos lebih rendah, walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke tempat kerja.
Justeru, beliau menambah, projek perumahan awam di kawasan bandar perlu dibangunkan lebih banyak malah boleh mengguna pakai kaedah pembangunan semula di lokasi tertentu.
“Ia bagi mewujudkan ekosistem dan nilai ekonomi lebih baik, terutama untuk golongan B40.
“Pelaksanaan itu akan membantu golongan berkenaan memiliki lebihan pendapatan boleh guna sekali gus mengatasi isu kemiskinan bandar.
“Bahkan, kadar sewa unit perumahan awam perlu ditetapkan pada kadar RM1,000 ke bawah sebulan atau ditawarkan untuk jualan pada harga berpatutan,” katanya.
Johari berkata, pembangunan semula bagi tujuan berkenaan perlu diwartakan untuk mengehadkan kontraktor daripada membina lebih banyak rumah bernilai lebih RM500,000, selain mengelak pelaksanaannya bertentangan tujuan asal.
“Tanah di bandar sangat terhad dan tiada kawasan baharu untuk membina perumahan awam, selain hampir sifar peratus rumah setinggan.
“Usaha pembangunan semula perumahan awam memerlukan masa dan perancangan teliti bagi memastikan kediaman yang dibangunkan memenuhi keperluan penduduk bandar,” katanya.






