
KUALA LUMPUR : Kejayaan mengukuhkan hubungan dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) mencerminkan keupayaan Malaysia untuk kekal relevan dalam landskap ekonomi global.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Abu Sufian Abu Bakar berkata pertemuan itu memperlihatkan usaha proaktif kerajaan dalam menarik pelaburan asing, khususnya dari salah satu dana kekayaan terbesar di dunia.
Malah katanya, huraian menyatakan pelaburan ADIA di Malaysia selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan rangka kerja Ekonomi Madani menunjukkan perancangan strategik yang diselaraskan antara pelabur asing dan dasar domestik.
“Kerjasama dalam penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) adalah contoh konkret bagaimana ADIA menyokong transformasi sektor infrastruktur negara,” katanya ketika dihubungi.
Abu Sufian yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Forum Ekonomi Manusiawi berkata usaha kerajaan memperkukuhkan hubungan tersebut antara lain memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat, seperti penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi sekali gus memberikan dimensi sosial kepada pelaburan ini.
“Ini menunjukkan pelaburan bukan sahaja bertujuan untuk keuntungan ekonomi, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, komitmen ADIA untuk terus melabur di Malaysia mencerminkan keyakinan terhadap kestabilan ekonomi, daya saing dan dasar kerajaan yang mesra pelabur.
“Ini juga menunjukkan kejayaan diplomasi ekonomi Malaysia dalam meyakinkan pelabur antarabangsa tentang potensi negara.
“Penyebutan nama-nama pemimpin utama ADIA memberikan kredibiliti dan menunjukkan tahap serius pertemuan tersebut sekali gus mampu mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi dalam kalangan pelabur global,” katanya.