KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berkenan menerima sembah menghadap Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dalam hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sesi menghadap itu bagi mempersembahkan taklimat pencapaian serta agenda Reformasi Undang-Undang dan Laporan Ketua Audit Negara, dalam dua sesi berasingan di Istana Negara.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, taklimat pencapaian serta agenda Reformasi Undang-Undang dipersembahkan Azalina , kepada Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda kemudian dipersembahkan Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 oleh Wan Suraya.
Kedua-dua sesi itu masing-masing berlangsung selama hampir sejam.
