
KUALA LUMPUR : Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd mengimarahkan sambutan Maulidur Rasul peringkat Masjid Ar Rahimah, Kampung Pandan di sini hari ini.
Dalam program berkenaan, kira-kira 10 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan Maulidur Rasul yang berlangsung penuh meriah dengan laungan selawat dan penghayatan sirah junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Perarakan sekitar kawasan Kampung Pandan sejauh kira-kira 1.5 kilometer (km) bermula seawal 8 pagi itu melibatkan jawatankuasa serta jemaah Masjid Ar Rahimah, penduduk setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta.

Ketua Kontinjen Andalusia, Khairul Sani Zamberi berkata, ia merupakan julung kali pihak Andalusia mengambil bahagian dalam perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat Masjid Ar Rahimah.
“Dalam perarakan ini, Andalusia membawa 52 peserta terdiri daripada pekerja-pekerja di ibu pejabat untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Maulidur Rasul.
“Pengalaman baharu ini diharap dapat memupuk semangat kebersamaan yang dibawa oleh Rasulullah SAW dalam kalangan para perserta,” ujarnya.

Katanya lagi, sambutan tersebut bukan sahaja memberi ruang untuk umat Islam memperingati sirah Nabi Muhammad SAW malah memperkukuhkan ukhwah sesama masyarakat setempat.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Ar Rahimah, Mohd Shah Hasim berkata, program berkenaan merupakan acara tahunan yang diadakan masjid tersebut.
“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Ia bertepatan menjadikan masjid sebagai satu institusi menggabungkan masyarakat daripada pelbagai peringkat.
“Selain perarakan, terdapat aktiviti-aktiviti lain seperti sumbangan Bank Rakyat kepada golongan asnaf yang berdaftar dengan masjid, qasidah, berendoi dan forum khas Maulidur Rasul,” katanya.






