
KOTA BHARU: Seorang mudir pondok pengajian agama yang dikenali sebagai Abuya berdepan enam lagi pertuduhan jenayah seksual terhadap remaja lelaki dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 46 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen sebaik siasatan dan proses pendakwaan dilengkapkan oleh pihak berkuasa.
Penahanan semula terhadap suspek dilakukan selepas polis menerima laporan baharu daripada seorang lagi mangsa remaja yang mendakwa menjadi mangsa di lokasi sama.
“Enam pertuduhan tambahan akan dikemukakan dalam masa terdekat. Kes ini disiasat di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.
Menurut Mohd Yusoff, minggu lalu suspek didakwa dengan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas berkaitan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki.
Katanya, bahan lucah turut ditemui dalam telefon bimbit milik suspek yang kini menjadi sebahagian daripada bahan bukti.
“Suspek turut menghadapi dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Isnin lalu, melibatkan mangsa remaja lelaki berusia 14 tahun.
Ini menjadikan jumlah pertuduhan sedia ada sebanyak sembilan, sebelum penambahan enam lagi pertuduhan yang dijangka dibuat tidak lama lagi,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, uspek dikatakan mempunyai pengaruh yang luas, termasuk dalam kalangan pengasas perniagaan di negeri ini serta memiliki jumlah pengikut yang besar di media sosial.






