
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani menyatakan pemaju projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru perlu segera menyiapkan dua blok perumahan seperti dijanjikan sejak lapan tahun lalu.
Tindakan itu bagi membolehkan penduduk yang berpindah sementara kembali ke penempatan asal mereka.
Beliau berkata, penyempurnaan dua blok kediaman itu amat penting untuk memulihkan semula kepercayaan penduduk terhadap keupayaan kewangan dan komitmen pemaju selepas penantian yang terlalu lama.
“Lebih 300 penduduk sudah berpindah, hanya tinggal 14 keluarga di rumah teres yang belum keluar.
“Pemaju kena siapkan dahulu dua blok baharu dengan menggunakan kawasan blok flat lama yang telah dirobohkan dan diratakan,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran MSPO Impact Alliance di sini.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kegagalan memulakan pembinaan semula selepas lapan tahun menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk yang terlibat.
Katanya, jika pemaju tidak lagi mampu meneruskan projek, mereka perlu berbincang segera dengan UDA Holdings Berhad bagi mencari jalan penyelesaian.
“Saya sudah beri amaran sejak PRU13 dulu supaya jangan tandatangan apa-apa kerana pemaju ini tiada kekuatan kewangan dan pengalaman.
“Tapi selepas saya kalah PRU14, pemaju teruskan dan 67 peratus penduduk bersetuju menandatangani. Sebab itu timbul masalah sekarang,” katanya.
Beliau juga membangkitkan isu penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang disifatkan tidak wajar apabila digunakan untuk mengambil alih rumah flat dan rumah teres demi tujuan pembangunan semula, walaupun ada sebahagian penduduk membantah.
Johari menegaskan sebarang pembangunan semula Kampung Sungai Baru perlu memastikan kepentingan dan hak masyarakat Melayu di kawasan itu terus dipelihara.
Terdahulu, 14 keluarga terakhir yang masih menetap di kawasan tersebut enggan mengosongkan kediaman mereka kerana tidak berpuas hati dengan nilai pampasan, penempatan semula, serta mendakwa proses pengambilan tanah dilakukan secara tidak telus.
Pada tahun 2021, kerajaan ketika itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah bagi mengambil alih kawasan berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak pemaju.
Usaha untuk mengosongkan baki rumah teres yang masih diduduki dibuat sekali lagi minggu lalu, selepas percubaan pertama pada Julai 2025 gagal.







