KUALA LUMPUR: Dua lagi kematian akibat jangkitan rabies direkodkan di Sarawak, sekali gus meningkatkan kes dalam kalangan manusia.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mengesahkan kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 22 tahun dari Petra Jaya yang dicakar kucing terbiar pada Julai lalu, manakala mangsa kedua ialah wanita berumur 67 tahun dari Batu Kawa yang digigit anjing terbiar pada 30 Ogos.
Kedua-dua mangsa mula menunjukkan gejala seperti demam, lemah badan, sakit perut, mual serta hilang selera makan sebelum dimasukkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia akibat rabies.
Menurut kenyataan rasmi JKN Sarawak, penambahan dua kes tersebut menjadikan jumlah kumulatif rabies dalam kalangan manusia sejak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 meningkat kepada 87 kes, dengan 80 kematian dicatatkan bersamaan kadar kematian 92 peratus.
“Setakat ini, empat kes rabies direkodkan sepanjang tahun 2025, menunjukkan penurunan dua kes berbanding tempoh sama tahun lalu,” jelas kenyataan itu.
Namun, pihak berkuasa kesihatan terus menggesa orang ramai berwaspada, terutama dalam mengelakkan sebarang interaksi dengan haiwan liar atau terbiar yang berisiko membawa virus berbahaya ini.
“Luka akibat gigitan atau cakaran haiwan segera dicuci di bawah air mengalir menggunakan sabun sekurang-kurangnya selama 15 minit, sebelum mendapatkan rawatan di klinik khusus seperti Post-Bite Clinic.
Orang awam juga diingatkan tidak menyentuh bangkai haiwan peliharaan atau haiwan terbiar yang mati tanpa diketahui punca kematian, sebaliknya segera membuat laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu.
Pemilik haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing juga diminta memastikan haiwan mereka menerima vaksinasi antirabies lengkap secara tahunan dan tidak dibiarkan berkeliaran tanpa pengawasan, bagi mengelakkan penularan wabak.
