KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden kekecohan dan mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman di Kampung Sungai Baru di sini, minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kertas siasatan berkenaan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), namun dikembalikan semula kelmarin.
“Kertas siasatan itu dikembalikan dengan beberapa arahan lanjut dan akan dirujuk semula pada jam 3.30 petang ini, dengan cadangan pertuduhan bagi semua individu yang ditahan.
“Secara keseluruhan seramai lapan individu ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Jan berkata, setakat ini seramai 67 individu diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Katanya, mereka terdiri daripada 52 saksi polis termasuk Ketua Polis Daerah Dang Wangi, empat pengadu, tiga pegawai mahkamah, masing-masing dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Selain seorang peguam, wakil penduduk, pengarah syarikat serta wanita yang juga penjaga kepada salah seorang tangkapan.
