
SEPANG : Isu imbuhan atlet Paralimpik yang mencetuskan polemik sejak beberapa hari lalu dipercayai berpunca daripada kelemahan dalam aspek tadbir urus pengurusan sukan.
Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, rungutan seorang atlet Paralimpik berhubung insentif yang didakwa belum dilunaskan jelas menggambarkan wujud kekurangan yang wajar diperbetulkan segera.
“Dua tiga hari ini kita dengar mengenai keluhan seorang atlet paralimpik, dia mengatakan imbuhan tidak dibayar. Itu dakwaan dia, dan ada pihak sudah memberi maklum balas.
“Tetapi jelas di sini, isu sebenar adalah mengenai tatakelola, sama ada ia tidak difahami, tidak dimaklumkan atau tiada garis panduan tadbir urus yang sempurna untuk diikuti,” katanya dalam berucap pada majlis penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Ke-4 di sini, hari ini.
Terdahulu, jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou, menyuarakan kekecewaan terhadap Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang didakwa belum menunaikan janji menyalurkan insentif tunai RM60,000 kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024, meskipun temasya itu telah berlalu lebih setahun.
Bagaimanapun, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, memberitahu organisasi itu akan mengambil tindakan tegas terhadap Liek Hou selepas kenyataan secara terbuka di laman media sosial ekoran mencalarkan kredibiliti dan merencatkan kemasukan penaja di masa hadapan.
Azam turut menekankan masalah seperti ini bukan sahaja boleh berlaku dalam bidang sukan fizikal tetapi juga berisiko timbul dalam e-sukan yang semakin pesat berkembang sebagai sebuah industri baharu.
“Bagaimana menguruskan e-sukan sama saja dengan sukan fizikal. Jika tatakelola tidak jelas, polemik akan tetap berlaku. Penyelidikan mengenai e-sukan juga sedang dijalankan kerana ini industri besar pada masa depan.
“Kita ke arah digitalisasi, AI (kecerdasan buatan) dan sebagainya. Sama ada suka atau tidak, kita akan berdepan perkara sebegini jika governans tidak diperkukuh,” katanya.





