
KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd memperkukuh sistem operasi dan pengurusan pelanggan dengan melaksanakan transformasi strategik menerusi kerjasama bersama Richworks Consulting Group (RCG).
Sebagai sebahagian daripada pendekatan pembangunan perniagaan berimpak tinggi, Andalusia turut terlibat dalam program eksklusif anjuran RCG, Titan Business Exchange (TBE), yang menghimpunkan hampir 200 usahawan dari program The Titan, Spire dan rakan niaga strategik.
“TBE adalah satu daripada inisiatif mentorship RCG yang memberi pendedahan kepada usahawan tentang strategi membina dan mengembangkan syarikat berskala nasional,” menurut Andalusia menerusi kenyataan hari ini.
Andalusia dipilih sebagai syarikat rujukan utama dalam program itu berikutan keupayaannya melaksanakan sistem operasi berskala besar dengan cekap dan berstruktur.
Pengasas RCG, Datuk Dr Azizan Osman turut menyampaikan amanat strategik kepada para usahawan yang hadir, dengan fokus kepada pembinaan syarikat yang mampan, berdaya saing dan bertahan lama.
Program TBE turut menekankan aspek penting dalam pengurusan organisasi seperti penetapan objektif dan pemetaan strategi mengikut jabatan, pelaksanaan sistem kerja harian berfokuskan keputusan dan produktiviti serta pengurusan dalaman berstruktur serta komunikasi rentas jabatan yang berkesan.
Kerjasama Andalusia dengan RCG juga menyaksikan peningkatan ketara dari segi penggunaan teknologi termasuk automasi pengurusan prospek (leads) dan CRM, selain penetapan KPI dan pembangunan bakat dalaman secara sistematik.
“Kami tidak hanya memberi perkhidmatan pelancongan, tetapi berusaha menjadi rujukan dalam dunia pengurusan dan keusahawanan berskala nasional,” kata Andalusia.







