KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa besar dalam menangani konflik antara Thailand dan Kemboja, baru-baru ini.
Pakar geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, Malaysia sejak dari hari pertama sudah mengambil langkah proaktif dengan mendesak kedua-dua Perdana Menteri Thailand dan Kemboja iaitu Hun Manet dan Phumtham Wechayachai untuk duduk semeja dan menyelesaikan pertikaian secara diplomatik.
“Tidak adil jika kita dakwa AS yang Berjaya ‘pujuk’ Thailand dan Kemboja untuk melakukan gencatan senjata kerana Malaysia sudah mengambil peranan itu sejak hari pertama konflik tercetus.
“Presiden Donald Trump ‘hanya masuk campur’ pada hari keempat konflik tercetus dan disebabkan itu, saya tidak nampak yang Malaysia atau Perdana Menteri tunduk kepada AS,” katanya kepada Ceritera.
Terdahulu, Kemboja dan Thailand bersetuju melakukan gencatan senjata selepas pertempuran tercetus di kawasan sempadan menyaksikan lebih 40 orang terbunuh.
Usaha itu diketuai Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dibantu oleh AS dan China.
Dalam pada itu, Azmi berkata, Anwar sebenarnya secara tersirat ‘mempergunakan’ AS dan China untuk turut serta dalam rundingan gencatan tersebut, namun disalah tafsir oleh sesetengah pihak sebagai Malaysia tunduk dengan kedua-dua negara terbabit.
Katanya, campur tangan AS dan China itu dilihat sebagai tekanan halus kepada Kemboja dan Thailand supaya menghentikan ketegangan.
Azmi turut menolak idea bahawa Malaysia perlu bertanggungjawab sekiranya gencatan senjata yang dimeterai gagal.
“Isu seperti ini (konflik serantau) sudah banyak kali berlaku sebelum ini dan saya lihat tiada pengerusi ASEAN ketika itu ingin masuk campur kerana mereka lihat ini adalah isu bilateral antara Kemboja dengan Thailand.
“Namun, berbeza dengan Malaysia apabila kita berusaha menyelesaikan masalah yang berlaku sendiri sebelum kuasa besar dunia masuk campur.
“Kalau kita biarkan kuasa besar seperti Trump masuk campur sejak awal, mungkin konflik ini akan jadi lebih rumit. Hanya negara Asia Tenggara yang benar-benar faham konteks pertikaian ini,” katanya.
Azmi berkata, Malaysia dilihat sebagai pemudah cara yang adil dan dipercayai oleh semua pihak termasuk Thailand, Kemboja, China dan AS.
Malaysia juga sebelum ini memainkan peranan penting dalam membantu membentuk wilayah autonomi Bangsamoro di selatan Filipina, yang berjaya mengadakan pilihan raya pertama secara bebas pada tahun lalu.
“Kita diiktiraf sebagai pemudah cara dalam pelbagai konflik serantau, termasuk rundingan antara kerajaan Thailand dan pejuang Islam di Selatan Thai.
“Kita buktikan ASEAN boleh menyelesaikan masalah dalaman tanpa campur tangan luar,” katanya.
Kejayaan diplomatik ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam membina keamanan dan kestabilan serantau.
