KUALA LUMPUR: Siasatan dan semakan lanjut terhadap kes serangan asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan dan Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim masih boleh dijalankan sekiranya terdapat perkembangan baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana kes jenayah tidak tertakluk kepada had tempoh masa seperti mana kes sivil.
“Oleh itu, sekiranya terdapat perkembangan baharu pada masa akan datang, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes ini masih boleh dijalankan,” katanya melalui jawatan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan justifikasi asas di sebalik keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan siasatan kes serangan asid ke atas Faisal sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Menurut Azalina, berdasarkan maklum balas daripada AGC, satu kertas siasatan dibuka pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai kejadian serangan asid terbabit.
“Pihak AGC menjalankan penelitian berdasarkan maklumat dan dokumen yang diterima namun mendapati buat masa ini tiada keterangan untuk sebarang tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Faisal disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara pada 5 Mei tahun lalu sebelum menerima rawatan di hospital selama hampir 3 minggu.
Pada 8 Mei lalu, peguam kepada Faisal mengesahkan kes serangan asid membabitkan pemain itu diklasifikasikan sebagai NFA oleh AGC.
