
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung Oktober ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, perkara itu dimaklumkan semasa perbualan telefon antara beliau dan Trump pagi tadi.
“Presiden Donald Trump sudah menyatakan persetujuan untuk hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada bulan Oktober, dan saya telah menyatakan penghargaan atas komitmen beliau.
“ Saya akan maklumkan perkara ini secara rasmi di Parlimen hari ini,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Kata Anwar, Trump turut menyampaikan penghargaan terhadap Malaysia atas peranannya dalam membantu menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja.
“Saya maklumkan kepada beliau yang kejayaan ini adalah hasil daripada kesepakatan dalam kalangan negara ASEAN, serta pendekatan positif kedua-dua negara terlibat, selain kerjasama rapat dengan AS, khususnya Presiden Trump, dan juga China,” jelasnya.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu tarif perdagangan dan komitmen terhadap prinsip perdagangan bebas, termasuk perkembangan rundingan yang sedang dijalankan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Setiausaha Perdagangan AS.
“Trump memaklumkan beliau akan mengumumkan kadar tarif balas baharu yang dikenakan terhadap Malaysia, esok,” kata Anwar.
Namun begitu, beliau mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berikutan kesan daripada tarif tersebut terhadap harga barangan dan kos sara hidup.
“Apa pun keputusannya, yang penting ialah ketahanan ekonomi yang harus kita bina, sebagaimana yang sering saya tekankan di Dewan ini,” katanya.





