
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan mengingatkan orang ramai tidak terpedaya dengan penipuan atau scam berhubung pendaftaran inisiatif penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumumkan Kerajaan MADANI.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat warganegara Malaysia memandangkan kelayakan SARA adalah secara automatik berdasarkan data semua warganegara dewasa pemegang MyKad.
Beliau berkata, data pemegang MyKad daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan digunakan bagi tujuan pengkreditan SARA.
“Kerajaan akan menyalurkan RM100 melalui MyKad secara sekali gus (one-off) kepada setiap pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang lahir pada 2007 dan ke bawah.
“Seramai 22 juta rakyat Malaysia layak menerima pengkreditan ini secara individu dan langkah ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) berhubung proses pendaftaran untuk melayakkan diri menerima RM100 di bawah inisiatif penghargaan SARA untuk semua.
Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai), Amir Hamzah berkata, kementerian mengalu-alukan pendaftaran lebih banyak peniaga kecil untuk terlibat dalam penjualan barangan yang dibenarkan di bawah inisiatif SARA.
Katanya sehingga 29 Julai, terdapat lebih 4,500 premis runcit berdaftar melibatkan penjualan lebih 90,000 barangan keperluan harian dalam 14 kategori, antaranya barangan makanan asas seperti beras dan telur, kebersihan rumah, ubat-ubatan, keperluan sekolah serta kebersihan diri.
“Mereka (peniaga) hanya perlu mendaftar dengan Yayasan MyKasih dan mengikuti tetapan yang telah diberikan. Kita menggalakkan (pendaftaran) agar dapat melebarkan lagi ruang yang ada.
“Kerajaan juga ada banyak lagi ruang untuk menolong peniaga kecil termasuk skim melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang boleh digunakan untuk merancakkan lagi perniagaan kecil,” katanya.






