
KOTA KINABALU: Sebanyak 60 saksi termasuk rakan, ibu bapa dan guru dirakam keterangan berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dekat sini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata antara yang diambil keterangan termasuk ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’.
“Siasatan berhubung kematian pelajar yang ditemui jatuh dari bangunan sekolah kini berada di fasa akhir.
“Kes ini akan diserahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh,” katanya dalam sidang media di lobi IPK Sabah, di sini, hari ini.
Zara Qairina Mahathir, 13, ditemui kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu, dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.
Pelajar itu meninggal dunia di hospital keesokan harinya dengan laporan awal mengatakan dia terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Mengulas lanjut, Jauteh berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan unsur buli dalam kes itu, namun menyerahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh.
“Kita tidak menolak kemungkinan dakwaan ini (buli) berdasarkan kepada siasatan yang kita laksanakan.
“Sekarang ini siasatan menjurus kepada dua elemen iaitu punca kepada kematian dan juga persekitaran,” katanya.
Sementara itu, beliau berpendapat mengaitkan kes itu membabitkan anak atau ahli keluarga kenamaan termasuk dirinya sendiri sebagai tidak sihat.
“Saya ingin tegaskan, tiada anak saya yang sedang atau pernah bersekolah di situ.
“Ini bererti ada netizen yang sengaja menimbulkan sesuatu yang tidak sihat kepada perkara ini,” katanya memaklumkan siasatan juga tidak menjurus ke arah dakwaan kononnya pelajar itu anak kepada individu berpengaruh.
Beliau dalam pada itu, menegaskan siasatan dalam kes ini dijalankan dengan penuh profesionalisme dan ketelusan, mengambil kira emosi pelajar yang menjadi saksi.
“Netizen mahu siasatan yang menyeluruh. Itu sebab kita ambil sedikit waktu untuk menyiapkan siasatan ini. Membabitkan 60 saksi dan juga semua saksi ini pun kita tidak dapat ambil secara terus.
“Kita juga memikirkan bahawa saksi-saksi ini adalah pelajar di sekolah itu yang mungkin hanya melihat atau mendengar ataupun berkawan dengan mangsa,” katanya





