KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah bermula seawal usia lima tahun, berbanding enam tahun ketika ini, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem pendidikan negara.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, kerajaan juga akan melaksanakan kajian semula ke atas waktu persekolahan optimum, selain menilai semula keberkesanan sekolah khusus, termasuk sekolah bagi pelajar pintar dan berbakat.
“Kerajaan akan memperkemas model pendidikan untuk murid pintar cerdas dan berbakat, dengan matlamat meningkatkan keberhasilan pendidikan negara,” katanya.
Dalam pembentangan itu, Perdana Menteri turut menekankan keperluan memperkukuh penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar, khususnya bahasa Inggeris.
“Tumpuan akan diberikan supaya bahasa Inggeris dijadikan sebagai sebahagian daripada bahasa pembelajaran dan perhubungan. Pembelajaran bahasa tambahan juga akan diperluas,” jelasnya.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menjelaskan struktur pentadbiran pendidikan akan diselaraskan bagi menjamin kecekapan dan keberkesanan pelaksanaan dasar.
“Pendidikan prasekolah hingga menengah akan diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan, manakala pendidikan prauniversiti dan pengajian tinggi diselaras oleh Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya.
Langkah itu bertujuan memperjelas bidang kuasa antara kementerian dan mengelakkan pertindihan dalam pelaksanaan dasar pendidikan.
Dalam usaha memperkukuh kualiti pengajaran, kerajaan akan menambah baik mekanisme pengambilan guru, dengan membuka peluang kepada calon berkelayakan, berpotensi dan komited terhadap profesion pendidikan.
“Program latihan dan peningkatan kemahiran secara berterusan akan dilaksanakan bagi meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru, yang merupakan akar kepada sistem pendidikan negara,” kata Anwar.
