
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) mengurangkan tarif sebanyak 19 peratus ke atas import Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos.
Dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Presiden Donald Trump bertarikh 31 Julai 2025 itu dimuat naik di laman sesawang Rumah Putih.
Pada 7 Julai lalu, Washington mengumumkan AS akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang dihantar ke negara itu, berasingan daripada semua tarif sektor, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, dan angka itu merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang telah diumumkan pada April.
Bagaimanapun, tiada tarif akan dikenakan sekiranya Malaysia, atau syarikat Malaysia, memutuskan untuk membangunkan atau menghasilkan produk di AS.
Malaysia telah berunding dengan Washington mengenai tarif sejak April, dengan matlamat untuk mengurangkan tarif 24 peratus yang dikenakan sebelum ini, dengan rundingan terkini telah diadakan pada 18 Jun lepas.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan telah mengadakan perbualan telefon dengan Trump pada pukul 6.50 pagi untuk membincangkan isu tarif berlandaskan semangat dan prinsip perdagangan bebas.
Menurut Anwar, perbualan itu turut menyentuh siri rundingan yang sedang berlangsung antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Wakil Perdagangan AS dan Setiausaha Perdagangan AS.





