
KUALA LUMPUR : Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk mengurangkan tarif timbal balas ke atas eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus dicapai tanpa menjejaskan hak kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar-dasar penting demi menyokong kestabilan dan pertumbuhan sosioekonomi negara.
Dalam kenyataan, MITI berkata rundingan tarif antara Malaysia dan AS yang bermula pada 6 Mei dan dimuktamadkan secara rasmi pada semalam (31 Julai 2025).
Kenyataan itu menyebut, hasil positif ini adalah susulan kepada usaha berterusan antara kedua-dua kerajaan melalui pelbagai platform dua hala dan mencerminkan tahap saling melengkapi yang tinggi dalam hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan AS selama lebih 60 tahun.
Menurutnya, kadar tarif 19 peratus yang berkuat kuasa hari ini itu juga hampir setara dengan kadar yang dikenakan terhadap negara-negara lain di rantau Asia Tenggara.
“Paling penting, Malaysia telah bertegas dalam mempertahankan pelbagai perkara berprinsip (red line).
“Pengurangan kadar tarif ini sebagai satu pencapaian besar hasil proses rundingan yang teliti dan sistematik oleh Malaysia,” kata kenyataan itu.
Sementara menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata keputusan AS mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh dan berterusan antara kedua-dua negara.
“Ia juga membuktikan kredibiliti Malaysia sebagai rakan perdagangan dan pelaburan yang boleh dipercayai.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatan kami di AS, khususnya Pejabat Wakil Perdagangan AS dan Jabatan Perdagangan AS, atas kerjasama dan sokongan mereka sepanjang proses rundingan ini,” katanya.





