
PUTRAJAYA: Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2025 secara rasmi berkuatkuasa hari ini, sekaligus memperluas pelaksanaan gaji minimum semasa kepada pekerja kontrak perantisan.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh perlindungan serta kebajikan semua kategori pekerja.
Menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Menterinya, Steven Sim menetapkan pindaan akta ini mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2025.
“Dengan pindaan ini, pekerja kontrak perantisan iaitu individu yang diambil bekerja dan dilatih secara sistematik oleh majikan dalam sesuatu bidang kemahiran kini turut layak menerima gaji minimum semasa,” jelas kenyataan itu.
Tempoh latihan bagi perantis ditetapkan antara enam hingga 24 bulan, dan sepanjang tempoh tersebut, mereka terikat untuk berkhidmat dengan majikan yang melatih mereka.
KESUMA turut merakamkan penghargaan kepada majikan yang telah mengambil inisiatif awal dengan membayar gaji minimum kepada pekerja kontrak perantisan.
Pada masa sama, kementerian itu mengingatkan majikan yang kini membayar gaji melebihi kadar minimum tidak dibenarkan mengurangkan kadar tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan juga menetapkan tarikh kuat kuasa bagi Perintah Gaji Minimum 2024 iaitu pada 1 Ogos 2025.
Perintah ini menetapkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan kepada majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja dan tidak menjalankan aktiviti profesional seperti diklasifikasikan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) 2020.
Sehubungan itu, KESUMA menyeru semua majikan mematuhi peraturan berkaitan gaji minimum seperti yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), JTK Sabah, dan JTK Sarawak.
Majikan yang gagal membayar gaji minimum seperti yang ditetapkan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, sekiranya disabitkan kesalahan.






